Monday, April 11, 2016

Perebutan Pengganti Bayezid II

 

Pada hujung pemerintahan Bayezid II isu besar yang dihadapi oleh Ottoman ialah ancaman dari Safavid Syiah yang diketuai Shah Ismail. Bayezid II pula sudah berkira untuk mengundur diri dari mengetuai pemerintahan. Beliau mulanya sudah bercadang memilih anak bernama Ahmad sebagai pengganti. Ahmad ketika itu merupakan pembesar di wilayah Amasya. Bersaing dengan Ahmad ialah seorang lagi anak Bayezid bernama Korkut. Korkut berusaha mengenepi Ahmad dan cuba mendapatkan sokongan militari  namun gagal. Ahmad pula meneruskan usaha menentang ancaman Syiah oleh Safavid Shah Ismail. Ancaman tersebut dilancar melalui agen beliau di Anatolia bernama Shahkulu. Walau bagaimana pun usaha Ahmad mengalami kesukaran. Akhirnya para pembesar Ottoman meminta seorang lagi anak Beyazid, Shehzade Selim, bagi mengetuai penentangan Safavid di wilayah Anatolia. 

Masjid Selim I, Istanbul

[dibina pada 1522 -  tour link]

Sebaik mengetahui Bayezid mahu melantik Ahmed sebagai pengganti, Selim, yang ketika iti menguasai Trabzon meminta dilantik sebagai pembesar Rumeli (wilayah Ottoman Eropah). Namun permintaan Selim telah ditolak. Berikutnya Selim telah pergi ke kota Kefe di wilayah Crimea dan dari situ beliau mara ke Rumeli bersama pasukan seramai 10,000 tentera. Dalam perjalanan ke Rumeli Selim singgah dahulu di Silistre bertemu Bayezid. Selim mendapat tahu bahawa Beyazid masih mahukan Ahmad mengganti beliau. Selim kemudiannya meneruskan kemaraan menuju Rumeli. Sampai di Chorlu Selim dan pasukkannya telah diserang dan Selim terpaksa melawan balik.

Pada masa yang sama Ahmad sudah bersedia untuk datang ke Istanbul menggantikan Bayezid. Apa yang berlaku berikutnya ialah pasukan Janissari Ottoman menyatakan sokongan mereka kepada Selim dan mahukan beliau sebagai pengganti Beyazid. Akhirnya Ahmad berpatah balik pulang ke wilayah kuasa beliau. Selim pula dijemput datang ke Istanbul. Sebaik tiba Beyazid mengarah Selim untuk mengetuai pasukan menentang Shah Ismail. Selim berkeras mahukan beliau di lantik dulu sebagai Sultan Ottoman. Beyazid akhirnya menyerah jawatan dan keluar meninggal Istanbul menghala ke Malkara. Beyazid akhirnya meninggal dunia ketika dalam perjanan. Beyazid meninggal dunia pada Mei 1512 ketika berusia 65 tahun.

- - - - -

0 Comments:

Post a Comment

<< Home