Saturday, October 29, 2016

Sultan Perak ke22 - Sultan Abdullah Muhammad Syah (1851-1857)

 

Selepas kemangkatan Sultan Shahabuddin (Sultan Perak ke-21) naik mengganti ialah sepupu almarhum yang bernama Raja Abdullah. Beliau ialah anak kepada Raja Kecil Abdul Rahman ibni Sultan Ahmaddin Syah. Bermakna Raja Abdullah ialah cucu kepada Sultan Ahmaddin (Sultan Perak ke-18). Raja Abdullah menjadi Sultan Perak ke-22 dengan gelaran Sultan Abdullah Muhammad Syah I dan bersemayam di Durian Sebatang, Teluk Intan.

Tidak lama setelah Sultan Abdullah menaiki takhta mulalah berlaku perbalahan kerana perebutan kuasa antara kerabat diraja Perak. Perebutan tersebut melibatkan Sultan Abdullah dan anak beliau Raja Yusuf di satu pihak dengan para pembesar yang diketuai Raja Ngah Jaafar (iaitu Raja Bendahara). Raja Ngah Jaafar ialah anak kepada Sultan Abdul Malik Mansur Syah (i.e., Sultan Perak ke-19).

Pada 1850 Pembesar Perak, Raja Muda Ngah Ali, telah bertindak sebagai wakil Sultan Perak mengurnia Daerah Larut kepada Cik Long Jaafar. Penyerahan tersebut di tandatangani oleh beliau bersama beberapa pembesar lain.

Pada 1853 Raja Muda Ngah Ali memberi tahu Gabenor di Singapura bahawa Sultan Abdullah telah meninggalkan istana. Sebenarnya Sultan Abdullah meninggalkan istana beliau di Durian Sebatang lari berlindung di rumah Datuk Laksamana Perak (Tok Janggut). Ekoran hal tersebut Gabenor telah memaklum kepada Kompeni Inggeris di India bahawa Sultan Abdullah telah dipecat dan beliau diganti oleh Raja Ngah Jaafar. 

Pada 1855 pula Sultan Abdullah telah mengadu kepada Gabenor di Singapura berkenaan kejadian yang berlaku di Perak. Namun Gabenor menjawab bahawa Kompeni Inggeris tidak dapt mencampuri hal pemerintahan Perak. Gabenor tetap memanggil Sultan Abdullah sebagai "Sultan".

Anak Sultan Abdullah, Raja Yusuf telah berusaha bersungguh supaya para pembesar Perak menerima ayahnya. Namun usaha Raja Yusuf tidak berjaya dan semua pembesar masih menyebelahi Raja Ngah Jaafar.

Pada 1856 Raja Ngah Jaafar menggelar dirinya "Sultan Perak". Beliau mengukuh kedudukan dengan mengeluar surat menyerah Larut kepada Long Jaafar dengan tandatangan beliau sendiri. Sebelum ini surat tersebut dikeluar dan ditandatangan oleh Raja Ngah Ali. 

Pada 1857 ketika perebutan kuasa masih berterusan Sultan Abdullah Muhammad Syah pula meninggal dunia. Beliau dimakamkan di Durian Sebatang dan diberi gelaran Marhum Durian Sebatang.

 

Meninjau pemandangan Gua Tempurung

- - - - -

0 Comments:

Post a Comment

<< Home