Thursday, November 03, 2016

Sultan Perak ke23 - Sultan Jaafar Muazzam Syah (1857-1865)

 

Selepas kemangkatan Sultan Abdullah pada 1857 naik memegang takhta Sultan Perak ialah Raja Ngah Jaafar. Beliau adalah cucu kepada Sultan Abdul Malik Mansur Syah (Sultan Perak ke-19). Raja Ngah Jaafar menjadi Sultan Perak ke-23 dengan gelaran Sultan Jaafar Muazzam Syah dan bersemayam di Pasir Panjang.

Setelah naik takhta Sultan Jaafar telah melantik Raja Ngah Ali sebagai Raja Muda, Jawatan Raja Bendahara pula dipegang oleh Raja Ismail bin Sayyid Syeikh Raja Siak. Bonda beliau ialah Raja Nandak puteri al-Marhum Sultan Ahmaddin Syah. Raja Yusuf tertolak dari jawatan Raja Bendahara kerana beliau tidak disukai oleh Sultan Jaafar.

Pada 1857 juga Long Jaafar meninggal dunia. Beliau diganti oleh anaknya Cik Ngah Ibrahim. Pada 1860 orang-orang Cina pekerja lombong bijih telah terbahagi kepada dua kumpulan - Hai San (puak Kantonis) dan Ghi Hin (puak Hakka/Hokkien).

Pada 1861 berlaku pergaduhan besar di antara Ghi Hin dan Hai San. Ghi Han kalah dan banyak harta benda binasa dan banyak orang mereka mati dan cedera. Kononnya banyak orang Ghi Hin ini adalah kalangan British dan mereka telah mengadu kepada Gabenor Negeri Selat. Ini membuka peluang kepada Inggeris untuk menunjuk kekuatan dan pengaruh mereka di Perak serta merendahkan kuasa raja Melayu.

Gabenor Inggeris Singapura telah menghantar kapal perang ke pantai Larut sebagai ancaman. Inggeris turut menuntut wang ganti rugi yang banyak bagi pihak Ghi Hin daripada kerajaan Perak. Akhirnya dengan kebenaran Sultan Jaafar ganti rugi sebanyak $17,447 telah dibayar oleh Ngah Ibrahim kepada British pada 1862

Pada 1863 Ngah Ibrahim telah diberi gelaran Tengku Menteri dan diberi izin mentadbir Larut serta boleh berhubung terus dengan Inggeris kerajaan Selat. Pada 1865 berlaku sekali lagi pergaduhan besar di antara Ghi Hin dan Hai San.

Sultan Jaafar Muazzam Shah pula meninggal dunia pada tahun yang sama 1865 di Durian Sebatang. Beliau dimakamkan di Pulau Juar dan digelar Marhum Waliullah.

 

Pintu masuk ke Museum Kapal Korek Bijih Timah

- - - - -

0 Comments:

Post a Comment

<< Home