Friday, November 11, 2016

Sultan Perak ke25 - Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Syah (1871-1874)

 

Lantikan dan pertabalan Sultan Perak ke-25, memang satu yang kontroversi. Raja Bendahara Ismail yang bersemayam di Belanja telah dipilih sebagai Sultan mengambil tempat al-Marhum Sultan Ali. Mengikut hirarkinya sepatut menjadi Sultan ialah Raja Muda Abdullah yang bersemayam di Batak Rabit. Namun beliau tidak pun mudik keSayong untuk upacara permakamam dan pertabalan. Setelah menunggu selama lebih sebualan makanya para pembesar negeri telah membuat keputusan Raja Bendahara Ismail dipilih sebagai pengganti Sultan.

Raja Ismail adalah putera Raja Nandak binti al-Marhum Sultan Ahmaddin Syah. Bapa beliau ialah Sayid Syaikh Al-Khairat keturunan Raja Siak. Pada awalnya selepas kemangkatan MarhumDurian Sebatang, putera al-Marhum bernama Raja Yusuf telah menuntut pangkat Raja Bendahara. Namun tuntutan Raja Yusuf tidak diterima oleh Sutlan Jaafar serta orang orang besar Perak lain. Maka itulah Raja Ismail yang dilantik sebagai Raja Bendahara.

Apabila Raja Bendahara Ismail ditabal sebagai Sultan beliau memakai gelaran Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Syah dan bersemayam di Belanja. Semenjak Raja Ismail menjadi Sultan hingga beberapa tahun lamanya, raja dan kerabat raja diraja Perak sentiasa berselisih faham sesama sendiri. Sultan Ismail di Belanja, Raja Muda Abdullah di Batak Rabut, Raja Yusuf di Senggang dan Ngah Ibrahim di Larut terus dalam keadaan bertelingkah antara satu sama lain. Masing-masing berkuasa sendiri dan memunguat cukai di kawasan sehingga keadaan menjadi kacau dan celaru.

Pada tahun 1872 berlaku pula Perang Larut yang timbul kerana huru-hara yang dilakukan oleh dua kumpulan kongsi lombong cina. Sengketa sesama kerabat di Raja dan perbalahan pelombong Cina membawa kesempatan kepada Inggeris untuk campur tangan di Perak. Kesempatan tersebut bertamabah terbuka bila mana pihak yang bersebketa iaitu Raja Muda Abdullah, Raja Yusuf, Raja Idris dan Ngah Ibrahim masing-masing berlumba-lumba meminta pertolongan Inggeris untuk menegak kedudukan masing-masing.

Pada April 1872 juga Raja Muda Abdullah mengishtihar  bahawa dia ialah Sultan Perak dan Raja Yusuf sebagai Raja Muda. Pada bulan yang sama Gabenor Inggeris Negeri Selat telah menghantar pegawai CJ Irving untuk menyiasat keadaan kesultanan Perak. Irving telah berjumpa Raja Muda Abdullah, Cik Ngah Ibrahim dan beberapa pembesar lain di Larut. Dalam perjumpaan itu Raja Muda Abdullah telah menyerah surat menyatakan beliaulah yang sepatutnya menjadi Sultan Perak. Ngah Ibrahim pula menyebut kepada Irving bahawa lantikan Sultan Ali sebagai sah tetapi Irving tidak berapa percaya kepada Ngah Ibrahim.

Sementara itu Perang Larut antara dua kumpulan kongsi Cina masih berterusan. Pada yahun 1873 Raja Muda Abdullah telah berpihak kepada kumpulan Ghi Hin manakala Ngah Ibrahim berpihak kepada Hai San. Tuntutan Raja Muda Abdullah untuk diakui sebagai Sultan Perak kepada Inggeris masih juga belum diputuskan. Inggeris pula tidak membuat keputusan kerana Gabenor Sir Harry Ord tidak lama lagi akan diganti oleh Sir Andrew Clarke. Sir Clarke tiba di Singapura pada November 1873.

Apabila Sir Andrew Clarke telah memegang jawatan Gabenor Raja Muda Abdullah sekali lagi menulis kepada Gabenor. Kali ini Raja Muda Abdullah meminta Gabenor baru menyelesaikan huru-hara di Perak, menerima Perak masuk bernaung di bawah perintah Inggeris dan minta dihantar seorang pegawai Inggeris ke Perak. Maka terbukalah peluang Gabenor Sir Andrew Clarke untuk campur tangan Inggeris di Perak.

Akhirnya pada Januari 1874 Gabenor Sir Andrew Clarke telah menjemput raja-raja dan orang besar Perak serta ketua-ketua puak Cina yang bergaduh datang berunding di Pangkor. Keputusan Perjanjian Pangkor adalah - Raja Muda Abdullah dilantik menjadi Sultan Perak; Baginda pula menerima seorang Residen Inggeris di Perak. Kerajaan Inggeris juga menghantar surat kepada Sultan Ismail di Belanja (yang tidak hadir mesyuarat) memberitahu beliau telah dilucut dari pangkat Sultan. Beliau dibenar memakai jawatan Sultan Muda. Keputusan seterusnya ialah Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut yang merdeka. Beliau hanya terus dengan jawatan Menteri tetapi di bawah perintah Sultan Perak.

Sultan Ismail kemudiannya pada tahun 1877 telah dihukum diasingkan oleh Inggeris ke Skudai Johor. Ini adalah kerana British mendapat bukti bahawa Sultan Ismail juga ada peranan dalam pembunuhan JWW Birch. Dua belas tahun kemudian Sultan Ismail meninggal dunia di Skudai dan dimakamkan di Bukit Mahmoodiah dengan gelar Marhum Mangkat di Skudai.

 

Ruang solat masjid Malim Nawar

- - - - -

0 Comments:

Post a Comment

<< Home