Sunday, November 27, 2016

Sultan Perak ke27 - Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Syah (1877-1886 dan 1886-1887)

 

Period pemerintahan Sultan Perak ke-26, Sultan Abdullah (Batak Rabit) hanya sepanjang sekitar dua tahun sahaja 1874-1876 dan penuh dengan pelbagai sejarah hitam. Period pemerintahan beliau mencatat peristiwa berlakunya pembunuhan JWW Birch yang diikuti dengan tindak balas Inggeris memburu mereka yang terlibat dengan peristiwa tersebut.

Pemerintahan Sultan Abdullah berakhir apabila beliau turut ditangkap kerana dituduh terlibat sama dalam pembunuhan Birch. Pada sekitar 1877 Sultan Abdullah telah di bawa ke Singapura dan berikutnya telah di buang negeri jauh ke Pulau Seychelles. Sepanjang ketiadaan Sultan Abdullah Inggeris telah melantik Raja Yusuf sebagai Pemangku Raja atau Regent Perak.

Raja Yusuf adalah putera kepada almarhum Sultan Abdullah Muhammad, Sultan Perak ke-22. Selepas kemangkatan bapanya pada 1857 Raja Yusuf gagal mendapatkan jawatan Raja Bendahara yang selayaknya untuk beliau. Begitu juga apabila mangkatnya Sultan Jaafar pada 1865, Raja Yusuf sekali lagi diketepikan dari jawatan Bendahara. Pada 1871 apabila Sultan Ali mangkat Raja Yusuf sekali lagi dinafikan jawatan Raja Bendahara. Dalam semua kes ini Raja Yusuf tidak dipilih sebagai Raja Bendahara kerana beliau tidak disukai oleh ramai pembesar Perak.

Apabila dilantik oleh Inggeris sebagai Pemangku Sultan pada 1877, Raja Yusuf telah pindah bersemayam di Sayong. Pada April 1877 Sir Hugh Low tiba di Perak untuk dilantik sebagai Residen Perak. Raja Idris iaitu menantu Raja Yusuf pula dilantik sebagai Raja Bendahara.

Pada period ini para pembesar dan rakyat Perak masih marah kepada Inggeris kerana tindakan keras mereka ekoran peristiwa Birch. Inggeris mengambil kaedah diplomasi dengan langkah awalnya  menghantar dua anak Sultan Abdullah, Raja Ngah Mansur dan Raja Chulan bersekolah di sekolah Inggeris Melaka dan kemudiannya ke Raffles Institution S'pore.

Di sudut lain Sir Hugh Low telah menjalankan tugas Residen dengan baik dan mendapat pujian di kalangan penulis sejarah Barat. Banyak lombong bijih baru dibuka dengan giat terutama di kawasan Kinta melebihi bilangan yang ada di Larut. Low juga telah membangun Bandar Teluk Anson pada 1882 dan kemudiannya diikuti banyak bandar lain.

Setelah lebih kurang sembilan tahun memegang jawatan Pemangku Sultan, Raja Yusuf akhirnya ditabal sebagai Sultan Perak ke-27 pada Oktober 1886. Beliau cuma sempat menjadi Sultan selama sekitar sepuloh bulan sahaja. Pada bulan Julai 1887 Sultan Yusuf mangkat dan dimakamkan di Sayong. Gelaran beliau ialah Marhum Gharirullah.


Agro Bazaar di RTC Gopeng

mm

- - - - -

0 Comments:

Post a Comment

<< Home