Sunday, November 27, 2016

Sultan Perak ke27 - Sultan Yusuf Sharifuddin Muzaffar Syah (1877-1886 dan 1886-1887)

 

Period pemerintahan Sultan Perak ke-26, Sultan Abdullah (Batak Rabit) hanya sepanjang sekitar dua tahun sahaja 1874-1876 dan penuh dengan pelbagai sejarah hitam. Period pemerintahan beliau mencatat peristiwa berlakunya pembunuhan JWW Birch yang diikuti dengan tindak balas Inggeris memburu mereka yang terlibat dengan peristiwa tersebut.

Pemerintahan Sultan Abdullah berakhir apabila beliau turut ditangkap kerana dituduh terlibat sama dalam pembunuhan Birch. Pada sekitar 1877 Sultan Abdullah telah di bawa ke Singapura dan berikutnya telah di buang negeri jauh ke Pulau Seychelles. Sepanjang ketiadaan Sultan Abdullah Inggeris telah melantik Raja Yusuf sebagai Pemangku Raja atau Regent Perak.

Raja Yusuf adalah putera kepada almarhum Sultan Abdullah Muhammad, Sultan Perak ke-22. Selepas kemangkatan bapanya pada 1857 Raja Yusuf gagal mendapatkan jawatan Raja Bendahara yang selayaknya untuk beliau. Begitu juga apabila mangkatnya Sultan Jaafar pada 1865, Raja Yusuf sekali lagi diketepikan dari jawatan Bendahara. Pada 1871 apabila Sultan Ali mangkat Raja Yusuf sekali lagi dinafikan jawatan Raja Bendahara. Dalam semua kes ini Raja Yusuf tidak dipilih sebagai Raja Bendahara kerana beliau tidak disukai oleh ramai pembesar Perak.

Apabila dilantik oleh Inggeris sebagai Pemangku Sultan pada 1877, Raja Yusuf telah pindah bersemayam di Sayong. Pada April 1877 Sir Hugh Low tiba di Perak untuk dilantik sebagai Residen Perak. Raja Idris iaitu menantu Raja Yusuf pula dilantik sebagai Raja Bendahara.

Pada period ini para pembesar dan rakyat Perak masih marah kepada Inggeris kerana tindakan keras mereka ekoran peristiwa Birch. Inggeris mengambil kaedah diplomasi dengan langkah awalnya  menghantar dua anak Sultan Abdullah, Raja Ngah Mansur dan Raja Chulan bersekolah di sekolah Inggeris Melaka dan kemudiannya ke Raffles Institution S'pore.

Di sudut lain Sir Hugh Low telah menjalankan tugas Residen dengan baik dan mendapat pujian di kalangan penulis sejarah Barat. Banyak lombong bijih baru dibuka dengan giat terutama di kawasan Kinta melebihi bilangan yang ada di Larut. Low juga telah membangun Bandar Teluk Anson pada 1882 dan kemudiannya diikuti banyak bandar lain.

Setelah lebih kurang sembilan tahun memegang jawatan Pemangku Sultan, Raja Yusuf akhirnya ditabal sebagai Sultan Perak ke-27 pada Oktober 1886. Beliau cuma sempat menjadi Sultan selama sekitar sepuloh bulan sahaja. Pada bulan Julai 1887 Sultan Yusuf mangkat dan dimakamkan di Sayong. Gelaran beliau ialah Marhum Gharirullah.


Agro Bazaar di RTC Gopeng

mm

- - - - -

Thursday, November 17, 2016

Sultan Perak ke26 - Sultan Abdullah Muhammad Syah II (1874-1876)

 

Sultan Perak ke-26 ialah Raja Abdullah ibni al-Marhum Sultan Jaafar Muazzam Syah. Beliau memakai gelaran Sultan Abdullah Muhammad Syah II dan bersemayam di Batak Rabit. Lantikan Raja Abdullah sebagai Sultan dan period pemerintahan beliau adalah suatu yang amat kontroversi dan penuh sejarah. 

Raja Abdullah dinaik menjadi Sultan oleh Inggeris ekoran keputusan Perjanjian Pangkor Januari 1874. Pada ketika itu Sultan Ismail masih menjadi Sultan Perak dan bersemayam di Belanja. Perjanjian Pangkor juga membuat keputusan menurunkan pangkat Sultan Ismail kepada Sultan Muda dan diberi elaun bulanan.

Namun begitu lantikan Sultan Abdullah melalui Perjanjian Pangkor juga memberi ruang Inggeris campurtangan dalam pentadbiran Perak. Pegawai Inggeris pertama yang datang ke Perak ialah JWW Birch. Beliau menimbulkan banyak masalah dan kemarahan kepada kerabat diRaja serta pembesar Melayu Perak. Kemuncaknya sehingga berlaku peristiwa pembunuhan JWW Birch di Pasir Salak.

Selepas peristiwa pembunuhan Birch, Inggeris melancar Perang Perak memburu mereka yang terlibat dalam pembunuhan Birch. Akhirnya ramai yang tertangkap, dibicarakan dan menerima hukuman. Berikutnya, Sultan Abdullah juga ditangkap kerana dituduh terlibat. Beliau dibawa ke Singapura dan dihukum buang negeri ke Pulau Seycheles pada 1876. Maka berakhirlah takhta yang dipegang Sultan Abdullah.

Sepanjang Sultan Abdullah ditangkap, ditahan, dibicara, Raja Yusuf telah diangkat sebagai pengganti dengan jawatan Regent Perak. Jawatan tersebut beliau pegang lama hampir sepuluh tahun. Raja Yusuf ditabal sebagai Sultan Perak yang sah pada 1886.

Baca "A history of Perak - Chp 11 The first British Resident". Link - bspot.


Kedai roti Harold's Bread RTC Gopeng

- - - - -

Friday, November 11, 2016

Sultan Perak ke25 - Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Syah (1871-1874)

 

Lantikan dan pertabalan Sultan Perak ke-25, memang satu yang kontroversi. Raja Bendahara Ismail yang bersemayam di Belanja telah dipilih sebagai Sultan mengambil tempat al-Marhum Sultan Ali. Mengikut hirarkinya sepatut menjadi Sultan ialah Raja Muda Abdullah yang bersemayam di Batak Rabit. Namun beliau tidak pun mudik keSayong untuk upacara permakamam dan pertabalan. Setelah menunggu selama lebih sebualan makanya para pembesar negeri telah membuat keputusan Raja Bendahara Ismail dipilih sebagai pengganti Sultan.

Raja Ismail adalah putera Raja Nandak binti al-Marhum Sultan Ahmaddin Syah. Bapa beliau ialah Sayid Syaikh Al-Khairat keturunan Raja Siak. Pada awalnya selepas kemangkatan MarhumDurian Sebatang, putera al-Marhum bernama Raja Yusuf telah menuntut pangkat Raja Bendahara. Namun tuntutan Raja Yusuf tidak diterima oleh Sutlan Jaafar serta orang orang besar Perak lain. Maka itulah Raja Ismail yang dilantik sebagai Raja Bendahara.

Apabila Raja Bendahara Ismail ditabal sebagai Sultan beliau memakai gelaran Sultan Ismail Mu'abidin Riayat Syah dan bersemayam di Belanja. Semenjak Raja Ismail menjadi Sultan hingga beberapa tahun lamanya, raja dan kerabat raja diraja Perak sentiasa berselisih faham sesama sendiri. Sultan Ismail di Belanja, Raja Muda Abdullah di Batak Rabut, Raja Yusuf di Senggang dan Ngah Ibrahim di Larut terus dalam keadaan bertelingkah antara satu sama lain. Masing-masing berkuasa sendiri dan memunguat cukai di kawasan sehingga keadaan menjadi kacau dan celaru.

Pada tahun 1872 berlaku pula Perang Larut yang timbul kerana huru-hara yang dilakukan oleh dua kumpulan kongsi lombong cina. Sengketa sesama kerabat di Raja dan perbalahan pelombong Cina membawa kesempatan kepada Inggeris untuk campur tangan di Perak. Kesempatan tersebut bertamabah terbuka bila mana pihak yang bersebketa iaitu Raja Muda Abdullah, Raja Yusuf, Raja Idris dan Ngah Ibrahim masing-masing berlumba-lumba meminta pertolongan Inggeris untuk menegak kedudukan masing-masing.

Pada April 1872 juga Raja Muda Abdullah mengishtihar  bahawa dia ialah Sultan Perak dan Raja Yusuf sebagai Raja Muda. Pada bulan yang sama Gabenor Inggeris Negeri Selat telah menghantar pegawai CJ Irving untuk menyiasat keadaan kesultanan Perak. Irving telah berjumpa Raja Muda Abdullah, Cik Ngah Ibrahim dan beberapa pembesar lain di Larut. Dalam perjumpaan itu Raja Muda Abdullah telah menyerah surat menyatakan beliaulah yang sepatutnya menjadi Sultan Perak. Ngah Ibrahim pula menyebut kepada Irving bahawa lantikan Sultan Ali sebagai sah tetapi Irving tidak berapa percaya kepada Ngah Ibrahim.

Sementara itu Perang Larut antara dua kumpulan kongsi Cina masih berterusan. Pada yahun 1873 Raja Muda Abdullah telah berpihak kepada kumpulan Ghi Hin manakala Ngah Ibrahim berpihak kepada Hai San. Tuntutan Raja Muda Abdullah untuk diakui sebagai Sultan Perak kepada Inggeris masih juga belum diputuskan. Inggeris pula tidak membuat keputusan kerana Gabenor Sir Harry Ord tidak lama lagi akan diganti oleh Sir Andrew Clarke. Sir Clarke tiba di Singapura pada November 1873.

Apabila Sir Andrew Clarke telah memegang jawatan Gabenor Raja Muda Abdullah sekali lagi menulis kepada Gabenor. Kali ini Raja Muda Abdullah meminta Gabenor baru menyelesaikan huru-hara di Perak, menerima Perak masuk bernaung di bawah perintah Inggeris dan minta dihantar seorang pegawai Inggeris ke Perak. Maka terbukalah peluang Gabenor Sir Andrew Clarke untuk campur tangan Inggeris di Perak.

Akhirnya pada Januari 1874 Gabenor Sir Andrew Clarke telah menjemput raja-raja dan orang besar Perak serta ketua-ketua puak Cina yang bergaduh datang berunding di Pangkor. Keputusan Perjanjian Pangkor adalah - Raja Muda Abdullah dilantik menjadi Sultan Perak; Baginda pula menerima seorang Residen Inggeris di Perak. Kerajaan Inggeris juga menghantar surat kepada Sultan Ismail di Belanja (yang tidak hadir mesyuarat) memberitahu beliau telah dilucut dari pangkat Sultan. Beliau dibenar memakai jawatan Sultan Muda. Keputusan seterusnya ialah Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah Larut yang merdeka. Beliau hanya terus dengan jawatan Menteri tetapi di bawah perintah Sultan Perak.

Sultan Ismail kemudiannya pada tahun 1877 telah dihukum diasingkan oleh Inggeris ke Skudai Johor. Ini adalah kerana British mendapat bukti bahawa Sultan Ismail juga ada peranan dalam pembunuhan JWW Birch. Dua belas tahun kemudian Sultan Ismail meninggal dunia di Skudai dan dimakamkan di Bukit Mahmoodiah dengan gelar Marhum Mangkat di Skudai.

 

Ruang solat masjid Malim Nawar

- - - - -

Monday, November 07, 2016

Sultan Perak ke24 - Sultan Ali al-Mukammal Inayat Syah (1865-1871)

 

Ketika Sultan Jaafar Muazzam Syah mangkat yang memegang jawatan Raja Muda ialah Raja Ngah Ali. Maka Raja Muda Ngah Ali pun dilantik menjadi Sultan Perak ke-25. Beliau memakai gelaran Sultan Ali al-Mukammal Inayat Syah dan bersemayam di Sayong, Kuala Kangsar. Sultan Ali ialah anak kepada Marhum Sultan Shahabuddin (Sultan Perak ke-21). Raja Abdullah dilantik menjadi Raja Muda dan bersemayam di Batak Rabit. Manakala Raja Bendahara ialah Raja Ismail bersemayam di Belanja. Raja Yusuf putera Marhum Durian Sebatang tidak memegang jawatan apa pun kerana beliau tidak disukai ramai orang besar Perak.

Pada 1870 Raja Muda Abdullah, tanpa meminta persetujuan Sultan Ali,  telah memajak satu kawasan tanah di Kerian kepada seorang peranakan Eropah bernama Edward Bacon, yang berniaga di Pulau Pinang. Hal ini telah membawa kemarahan kepada Ngah Ibrahim yang ketika itu menguasai daerah Larut. Maka timbullah perselisihan antara Raja Muda Abdullah dengan Cik Ngah Ibrahim. 

Pada 1871 Sultan Ali Inayat Syah mangkat di Sayong. Pada masa itu timbul masalah dalam memilih pengganti al-Marhum kerana Raja Muda Abdullah yang sepatutnya mengganti datang ke Sayong untuk urusan permakaman dan pertabalan. Namun, Raja Muda Abdullah tidak berani mudik ke Sayong kerana bimbang akan dibunuh. Akhirnya setelah tertangguh sebulan jenazah al-Marhum dimakamkan di Sayong dan digelar Marhum Nabi Allah.

Selanjutnya, dengan persetujuan sebilangan besar rakyat Perak, terutama dengan sokongan Ngah Ibrahim, Raja Bendahara Ismail ditabal menjadi pengganti Sultan Ali.

 

Tinggalan kapal korek bijih timah

- - - - -

Thursday, November 03, 2016

Sultan Perak ke23 - Sultan Jaafar Muazzam Syah (1857-1865)

 

Selepas kemangkatan Sultan Abdullah pada 1857 naik memegang takhta Sultan Perak ialah Raja Ngah Jaafar. Beliau adalah cucu kepada Sultan Abdul Malik Mansur Syah (Sultan Perak ke-19). Raja Ngah Jaafar menjadi Sultan Perak ke-23 dengan gelaran Sultan Jaafar Muazzam Syah dan bersemayam di Pasir Panjang.

Setelah naik takhta Sultan Jaafar telah melantik Raja Ngah Ali sebagai Raja Muda, Jawatan Raja Bendahara pula dipegang oleh Raja Ismail bin Sayyid Syeikh Raja Siak. Bonda beliau ialah Raja Nandak puteri al-Marhum Sultan Ahmaddin Syah. Raja Yusuf tertolak dari jawatan Raja Bendahara kerana beliau tidak disukai oleh Sultan Jaafar.

Pada 1857 juga Long Jaafar meninggal dunia. Beliau diganti oleh anaknya Cik Ngah Ibrahim. Pada 1860 orang-orang Cina pekerja lombong bijih telah terbahagi kepada dua kumpulan - Hai San (puak Kantonis) dan Ghi Hin (puak Hakka/Hokkien).

Pada 1861 berlaku pergaduhan besar di antara Ghi Hin dan Hai San. Ghi Han kalah dan banyak harta benda binasa dan banyak orang mereka mati dan cedera. Kononnya banyak orang Ghi Hin ini adalah kalangan British dan mereka telah mengadu kepada Gabenor Negeri Selat. Ini membuka peluang kepada Inggeris untuk menunjuk kekuatan dan pengaruh mereka di Perak serta merendahkan kuasa raja Melayu.

Gabenor Inggeris Singapura telah menghantar kapal perang ke pantai Larut sebagai ancaman. Inggeris turut menuntut wang ganti rugi yang banyak bagi pihak Ghi Hin daripada kerajaan Perak. Akhirnya dengan kebenaran Sultan Jaafar ganti rugi sebanyak $17,447 telah dibayar oleh Ngah Ibrahim kepada British pada 1862

Pada 1863 Ngah Ibrahim telah diberi gelaran Tengku Menteri dan diberi izin mentadbir Larut serta boleh berhubung terus dengan Inggeris kerajaan Selat. Pada 1865 berlaku sekali lagi pergaduhan besar di antara Ghi Hin dan Hai San.

Sultan Jaafar Muazzam Shah pula meninggal dunia pada tahun yang sama 1865 di Durian Sebatang. Beliau dimakamkan di Pulau Juar dan digelar Marhum Waliullah.

 

Pintu masuk ke Museum Kapal Korek Bijih Timah

- - - - -