Saturday, October 29, 2016

Sultan Perak ke22 - Sultan Abdullah Muhammad Syah (1851-1857)

 

Selepas kemangkatan Sultan Shahabuddin (Sultan Perak ke-21) naik mengganti ialah sepupu almarhum yang bernama Raja Abdullah. Beliau ialah anak kepada Raja Kecil Abdul Rahman ibni Sultan Ahmaddin Syah. Bermakna Raja Abdullah ialah cucu kepada Sultan Ahmaddin (Sultan Perak ke-18). Raja Abdullah menjadi Sultan Perak ke-22 dengan gelaran Sultan Abdullah Muhammad Syah I dan bersemayam di Durian Sebatang, Teluk Intan.

Tidak lama setelah Sultan Abdullah menaiki takhta mulalah berlaku perbalahan kerana perebutan kuasa antara kerabat diraja Perak. Perebutan tersebut melibatkan Sultan Abdullah dan anak beliau Raja Yusuf di satu pihak dengan para pembesar yang diketuai Raja Ngah Jaafar (iaitu Raja Bendahara). Raja Ngah Jaafar ialah anak kepada Sultan Abdul Malik Mansur Syah (i.e., Sultan Perak ke-19).

Pada 1850 Pembesar Perak, Raja Muda Ngah Ali, telah bertindak sebagai wakil Sultan Perak mengurnia Daerah Larut kepada Cik Long Jaafar. Penyerahan tersebut di tandatangani oleh beliau bersama beberapa pembesar lain.

Pada 1853 Raja Muda Ngah Ali memberi tahu Gabenor di Singapura bahawa Sultan Abdullah telah meninggalkan istana. Sebenarnya Sultan Abdullah meninggalkan istana beliau di Durian Sebatang lari berlindung di rumah Datuk Laksamana Perak (Tok Janggut). Ekoran hal tersebut Gabenor telah memaklum kepada Kompeni Inggeris di India bahawa Sultan Abdullah telah dipecat dan beliau diganti oleh Raja Ngah Jaafar. 

Pada 1855 pula Sultan Abdullah telah mengadu kepada Gabenor di Singapura berkenaan kejadian yang berlaku di Perak. Namun Gabenor menjawab bahawa Kompeni Inggeris tidak dapt mencampuri hal pemerintahan Perak. Gabenor tetap memanggil Sultan Abdullah sebagai "Sultan".

Anak Sultan Abdullah, Raja Yusuf telah berusaha bersungguh supaya para pembesar Perak menerima ayahnya. Namun usaha Raja Yusuf tidak berjaya dan semua pembesar masih menyebelahi Raja Ngah Jaafar.

Pada 1856 Raja Ngah Jaafar menggelar dirinya "Sultan Perak". Beliau mengukuh kedudukan dengan mengeluar surat menyerah Larut kepada Long Jaafar dengan tandatangan beliau sendiri. Sebelum ini surat tersebut dikeluar dan ditandatangan oleh Raja Ngah Ali. 

Pada 1857 ketika perebutan kuasa masih berterusan Sultan Abdullah Muhammad Syah pula meninggal dunia. Beliau dimakamkan di Durian Sebatang dan diberi gelaran Marhum Durian Sebatang.

 

Meninjau pemandangan Gua Tempurung

- - - - -

Tuesday, October 25, 2016

Sultan Perak ke 21 - Sultan Shahabuddin Riayat Syah (1830-1851)

 

Raja Chulan atau Raja Inu bin  al-Marhum Sultan Ahmaddin Syah (i.e., Sultan Perak ke-18) telah dilantik sebagai Raja Muda Perak pada 1826. Apabila Sultan Abdullah Muazzam Syah mangkat pada 1830, Raja Inu naik mengganti sebagai Sultan Perak ke-21 dengan gelaran Sultan Shahabuddin Riayat Syah.

Pada 1832 Sultan Shahabuddin mengutus surat kepada Gabenor Pulau Pinang mengadu tentang ura-ura Selangor akan menyerang Perak. Selangor menuntut baki hutang kerajaan Perak sejak zaman Sultan Ibrahim. Kedatangan kapal Inggeris di Perak menjadikan Selangor tidak datang menyerang. Selanjutnya pada 1832 Inggeris memberi amaran kepada Selangor supaya tidak menyerang Perak.

Pada 1840 seorang Melayu Perak bernama Long Jaafar, keturunan Penghulu Mukim Lubuk Merbau, datang ke Larut bekerja dengan Datok Panglima Kinta.

Pada 1842 pula Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin yang telah dapat semula menduduki takhta Kedah setelah lari kerana kalah kepada Siam mencuba mengambil Daerrah Kerian. Sultan Shahabuddin memberi tahu hal itu kepada Inggeris. Sultan Shahabuddin juga bersiap untuk berperang dengan Kedah mempertahan Kerian. Inggeris menasihati Sultan Kedah melucut tuntutan mereka dan memberi amaran Perak jangan menyerang Kedah. Hal itu selesai pada 1848 dengan Kerian tetap menjadi sebahagian daripada Perak.

Pada 1848 juga Long Jaafar mula membuka lombong bijih dan membawa masuk orang Cina bekerja di lombong beliau.

Sultan Shahabuddin Riayat Syah meninggal dunia pada 1851. Beliau dimakamkan di Tanjung Penangguk, Mukim Bandar, Hilir Perak. Gelaran beliau ialah Marhum Safiullah.

Sekitar Gua Tempurung

- - - - -

Thursday, October 20, 2016

Sultan Perak ke20 - Sultan Abdullah Muazzam Syah (1825-1830)

Selepas Sultan Abdul Malik Mansur Syah mangkat anak beliau yang bernama Raja Abdullah naik sebagai Sultan Perak. Raja Abdullah memakai gelaran Sultan Abdullah Muazzam Syah. Beliau bersemayam di Pasir Panjang Indera Mulia. Sebaik menaiki takhta Sultan Abdullah telah mengutus surat kepada Gabenor Robert Fullerton di Pulau Pinang mengatakan negeri Perak sedang di bawah takluk Siam. Gabenor juga mendengar berita bahawa kerajaan Ligor hendak menyerang negeri Selangor. Maka Gabenor Fullerton telah menjalankan politiknya supaya kedua-dua negeri Melayu Perak dan Selangor jangan diambil oleh Siam.

Fullerto telah menghantar pegawai bernama WS Cracoft ke Perak untuk berunding dan mengukuh hubungan perniagaan di antara Kompeni Inggeris dengan Perak. Fullerton juga menghantar surat kepada Raja Ligor memberi amaran supaya tidak menyerang Perak dan Selangor.

Pada 1825 Kompeni Inggeris menghantar pegawainya bernama Kapten Henry Burney ke Ligor dan membuat perjanjian awal dengan Raja Ligor. Kandungan perjanjian ialah Raja Ligor mengaku tidak akan menyerang Perak dan Selangor. Kompeni Inggeris pula tidak akan mencampuri hal pemerintahan Perak dan akan menghalang Selangor dari mengganggu keamanan Perak dan mengeluar Raja Hassan yang memungut cukai di negeri Perak.

Gabenor Fullerto juga turut menghantar pegawai John Anderson ke Selangor dan ke Perak. Tujuan Fullerton berbuat demikian ialah untuk menguat pengaruh Inggeris ke atas kedua-dua negeri. John Anderson membuat perjanjian dengan Sultan Ibrahim dan juga dengan Sultan Abdullah. Perjanjian tersebut menetapkan Sungai Bernam sebagai sempadan Selangor-Perak.

Pada 1826 pula Kompeni Inggeris dan Siam telah menanda tangani Perjanjian Burney. Antara isinya adalah Siam tidak akan menyerang Perak; Selangor pun tidak boleh menyerang Perak. Hal ini menunjukkan bahawa Perak telah mendapat keamanan atas inisiatif Kompeni Inggeris. Perak juga tidak lagi menghantar ufti kepada Siam dan Selangor.

Pada 1826 juga Sultan telah melantik Raja Culan, iaitu Raja Inu ibni al-Marhum Sultan Ahmaddin Syah sebagai Raja Muda Perak.

Sultan Abdullah Muazzam Syah meninggal dunia pada 1830. Beliau dimakamkan di Teluk Kepayang, Mukim Pasir Panjang Ulu, Hilir Perak. Gelaran beliau ialah Marhum Khalilullah.

 

Satu sisi pemandangan Bandar Ipoh

- - - - -

Monday, October 17, 2016

Sultan Perak ke19 - Sultan Abdul Malik Mansur Syah (1806-1825)

 

Sultan Perak ke-19 Sultan Abdul Malik Mansur Syah.

Period pemerintahan SAMMS dirundung dugaan getir kerana berlaku berbagai ancaman dari negeri-negeri jiran. Dari Selangor pasukan Sultan Ibrahim datang menyerang dan telah mengalahkan Perak sejak 1804. 

Pada 1818 pasukan tentera Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin, yang dipimpin oleh kerabat bernama Tengku Yakub (atau dipanggil juga Tengku Akil) dan pembesar juga datang menyerang Perak. Mereka menyerang Perak atas arahan Kerajaan Siam. Mereka telah ditentang oleh orang Perak di Bukit Gantang yang dipimpin oleh Cik Alang Idin. Pasukan Perak telah kalah. Lantaran itu Cik Alang Idin membawa pengikutnya berundur ke Kota Lama Kiri. Di situ mereka berkumpul dengan pasukan yang dipimpin oleh Panjang Talib. Dengan kebijaksanaan Panjang Talib peperangan Perak-Kedah telah dapat dihentikan. Ekoran perdamaian tersebut Bendahara Kedah dan Tengku Akil telah bernikah dengan anggota keluarga Panjang Talib. Manakala Cik Alang Idin pula diberi gelaran Panglima Bukit Gantang.

Pada 1821 angkatan Siam pula datang menyerang Kedah dan berjaya menakluki Kedah. Sultan Ahmad Tajuddin terpaksa lari keluar dari Kedah. Berikutnya pasukan Siam meneruskan kemaraan mereka masuk menyerang Perak. Mereka berjaya menakluki Perak dan memaksa Sultan membayar ufti setiap tahun kepada Siam.

Pada 1822 Siam telah berjaya diusir keluar dari Perak dengan bantuan orang Selangor. Maka kali ini Perak terpaksa pula membayar ufti kepada Selangor. Namun tidak lama kemudian Siam datang lagi menduduki Perak dan memaksa Sultan membayar ufti kepada Siam. Siam juga mengancam untuk terus masuk menyerang Selangor.

Pada ketika pergolakan yang berterusan serta ancaman Siam dan Selangor ke atas Perak, Sultan Perak, Sultan Abdul Malik Syah pula meninggal dunia pada 1825. Beliau dimakamkan di Kpg Bandar Baharu (berdekatan Kpg Gajah) dan diberi gelaran Marhum Jamalullah.

 

Menuju ke Restoran Haji Yahya

 

- - - - -

Thursday, October 13, 2016

Sultan Perak ke18 - Sultan Ahmaddin Syah (1786-1806)

Dilantik sebagai Sultan Perak ke-18 ialah Raja Bongsu yang disebut juga Raja Cik ibni Sultan Muhammad Syah. Beliau adalah adik kepada Sultan sebelum ini iaitu Sultan Alauddin Mansur Syah (Sultan Perak ke-17). Gelaran beliau ialah Sultan Ahmaddin Syah.

Pada awal period pemerintahan beliau iaitu pada 1786 British telah membuka Pulau Pinang. Akibatnya pengaruh dan perniagaan bijih timah Belanda di Perak telah merosot teruk. Pada tahun 1795 pula Melaka telah diambil oleh Inggeris dari tangan kompeni Belanda. Pada tahun yang sama British telah menghantar pasukan kecil askar ke Perak dan memaksa Belanda menyerahkan kota Belanda di Tanjung Putus kepada mereka. Maka berakhirlah penguasaan bijih timah Perak oleh Belanda.

Pada 1805 Sultan Ibrahim, Sultan Selangor pula datang menyerang Perak. Mereka berjaya mengalahkan Perak dan Sultan Ahmaddin terpaksa berundur ke hulu iaitu ke Kuala Pelus (masih dalam daerah Kuala Kangsar). Sultan Selangor kemudiannya telah menulis kepada British Pulau Pinang supaya jangan masuk ke Perak.

Pada tahun 1806 Sultan Ahmaddin Syah telah tersangat tua dan mangkat di Cegar Galah. Beliau telah dibawa balik ke Bota dan dimakamkan di sana. Gelaran beliau ialah Marhum Bongsu. Makam Marhum Bongsu berdekatan dengan makam Marhum Mangkat Di Darat (i.e., Sultan Perak ke-5. link).

 

Ipoh Clock Tower

Baca artikel "Hubungan politik Selangor dengan Perak 1804-1825". Link - uitm.

- - - - -

Monday, October 10, 2016

Sultan Perak ke17 - Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda (d.1786)

 

Setelah mangkat Sultan Perak ke-16, Marhum Muda, adik beliau, Raja Alauddin ibni Sultan Muhammad Syah telah diangkat sebagai mengganti Sultan. Raja Alauddin memakai gelaran Sultan Alauddin Mansur Syah Iskandar Muda. Beliau awalnya bersemayam di Pulau Indera Sakti namun kemudian berpindah ke tempat bernama Rantau Panjang. Nama tersebut kemudian menjadi Rantau Panjang Indera Mulia.

Detik British bermula dengan kunjungan seorang bernama Kaptain Forest dari Penang pada 1783. Beliau melawat Perak sambil meninjau gudang Belanda di Tanjung Putus, Teluk Anson. Kemudian Kaptain Forest singgah berkunjung berjumpa Sultan Alauddin sebagai tanda hormat. Beliau memberi hadiah kain sutera buatan Benggala. Sultan pula menghadiahkan buahan yang dimuat ke kapal Kaptain Frost.

Pada 1786 British membuka Pulau Pinang. Pada tahun yang sama Belanda datang semula ke Perak meneruskan niaga bijih timah dengan negeri Perak.

Sultan Alauddin Mansur Syah meninggal dunia pada 1786. Beliau dimakamkan di Teluk Memali dengan gelaran Marhum Sulung.

 

Arlene House, Ipoh

- - - - -

Friday, October 07, 2016

Sultan Perak ke16 - Sultan Mahmud Syah (1770-1778)

 

Selepas kemangkatan Sultan Iskandar Zulkarnain adik beliau yang bernama Raja Kimas telah diangkat sebagai Sultan Perak ke-16. Beliau memakai gelaran Sultan Mahmud Syah. Pada awalnya beliau bersemayam di Pulau Cempaka Sari. Namun kemudian beliau berpindah bersemayam di Pasir Puali Indera Mulia, tidak berapa jauh dari Pulau Cempaka Sari atau nama barunya Pulau Indera Sakti. 

Period pemerintahan Sultan Mahmud Shah menyaksikan kedatangan dan campur tangan Bugis di Perak. Seorang panglima Bugis dari Riau yang bernama Raja Haji telah datang ke Perak bersama abang beliau Raja Lumu. Raja Lumu juga telah beristeri dengan seorang puteri Raja Perak dan Sultan Mahmud memberi beliau gelaran Sultan Salehuddin Shah.

Sultan Mahmud Syah mangkat pada 1778 dan dimakam di Teluk Memali, Pulau Besar iaitu agak jauh dari tebing Sungai Perak. Gelaran beliau ialah Marhum Muda.

Baca juga catatan tentang Sultan Mahmud Syah - fb berikut - link.

 

 

Bangunan Kapitan Chung Thye Pin, Ipoh

- - - - -

Monday, October 03, 2016

Sultan Perak ke15 - Sultan Iskandar Zulkarnain (1756-1770)

 

Sultan Perak berikutnya iaitu yang ke-15 ialah Sultan Iskandar Zulkarnain. Nama asal beliau ialah Raja Iskandar ibni Sultan Muhammad Syah. Beliau ialah anak kepada Sultan Muhammad Syah yang pernah menjadi Sultan Perak ke-14 selama tempoh dua tahun (1742-43). Raja Iskandar juga adalah menantu kepada Sultan Muzaffar Syah III (1728-56). Sultan Iskandar Zulkarnain bersemayam di Pulau Cempaka Sari di tepi Sungai Perak dekat Kuala Sungai Kinta.

Antara catatan sejarah pada period SIZ berakhirnya keturunan Megat memegang jawatan Bendahara. Yang terakhir memegang tugas Bendahara ialah Megat Abu Kasim. beliau meletak jawatan. Antara alasan beliau meletak jawatan ialah Sultan tidak berpuas hati dengan  keadaan istana baru yang dibina di Pulau Indera Sakti. Istana tersebut dibina di bawah kelola Bendahara Megat Abu Kasim. Berikutnya dilantik sebagai Bendahara ialah adik Sultan sendiri iaitu Raja Alauddin. Jawatan Bendahara terus dipegang oleh kaum kerabat untuk tempoh dua ratus tahun sehingga 1959. Jawatan Bendahara kemudiannya kembali dipegang oleh orang kebanyakan dengan pertama oleh Bendahara Cik Muhammad Yusuf (CM Yusuf).

Pada period Sultan Iskandar Zulkarnain pihak Belanda telah berurusan dengan beliau dalam hal belian bijih. Belanda menggunakan perantara iaitu seorang India yang bernama Pir Muhamad. Beliau amat disukai oleh Sultan sebelum ini (i.e., Sultan Muzaffar Syah III). Namun ketika pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain beliau tidak lagi boleh berbuat sesuka hati sebagaimana sebelumnya. Maka Pri Muhammad telah memfitnah kepada Belanda bahawa Sultan Iskandar Zulkarnaini merancang serang pihak Belanda. Ekoran hal tersebut hubungan Perak dengan Belanda agak tegang untuk beberapa tempoh.

Dari sudut pemerintahan period Sultan Iskandar Zulkarnaini dikatakan sebagai terbaik. Beliau mengambil berat tentang hal rakyat. Beliau meninggal dunia pada tahun 1770 dan dimakam di Pulau Indera Sakti. Gelaran beliau ialah Marhum Kaharullah atau Marhum Kahar.

 Baca "Bagaimana pusat pemerintahan wujud di Cempaka Sari". Link - orang perak dot com.

 

Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh

- - - - -